10 Dec 2011
Latihan Bijak Pintar.
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Pada setiap hujung minggu, Afif akan membantu neneknya menjual kuih di tepi jalan. Dia tidak pernah berasa malu membantu neneknya itu. Neneknya selalu memberikan wang sebagai upah kepada Afif, tetapi dia tidak mengambil wang itu kerana dia membantu dengan ikhlas.
Sebelum pergi ke sekolah, Afif akan bersalaman dengan neneknya. Afif sangat sayang akan neneknya. Pada malam hari, Afif rajin mengulang kaji pelajaran. Walaupun dia masih berada di tahun empat, tetapi dia membuat persediaan awal untuk menghadapi UPSR.
Di sekolah, Afif sangat dikagumi oleh rakan sebaya dan guru-gurunya. Dia sering membantu rakan-rakan yang menghadapi kesulitan. Dia akan membaca buku sementara menunggu guru masuk ke kelas. Selain itu, dia juga aktif dalam bidang kokurikulum dan menjadi ayam tambatan bagi pasukan bola di sekolahnya. Di berharap suatu hari nanti, dia akan dapat mewakili negara dalam permainan tersebut.
Contoh Cara Menjawab Soalan Bahagian C ( Penulisan )
Contoh 1
Tulis lima nilai murni yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah ini.
Panjangnya jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Jalan raya agak sesak ketika itu. Najihah sedang melalui jejantas yang merentas jalan utama itu. Tiba-tiba, dia terlihat seorang pengemis menadah tangan kepadanya. Dia berasa kasihan. Dia menyeluk sakunya. Ada beberapa keeping syiling baki wang sakunya hari ini. Pengemis itu mengucapkan terima kasih apabila Najihah menghulurkan wang tersebut.
Najihah meneuruni jejantas itu. Dia lihat ramai orang menunggu bas di situ. Dia menunggu dengan sabar. Dia membaca majalah yang baru dibelinya sambil menunggu bas.
Tidak lama kemudian, bas yang ditunggu-tunggu pun tiba. Najihah beratur menunggu gilirannya menaiki bas. Nasibnya agak baik kerana mendapat tempat duduk. Dia meneruskan bacaannya.
Di pertengahan jalan, bas itu berhenti. Seorang wanita mengandung dan anak kecilnya menaiki bas tersebut. Najihah berasa kasihan. Dia segera bangun lalu mempelawa wanita tersebut duduk di tempat duduknya. Wanita itu mengucapkan terima kasih kepada Najihah.
Contoh Jawapan
Kita sewajarnya baik hati seperti Najihah yang memberikan baki wang sakunya kepada pengemis. Selain itu, kita mestilah menghargai masa seperti Najihah yang membaca sementara menunggu bas. Tambahan pula, kita sepatutnya berdisiplin seperti beratur ketika menaiki bas. Kita hendaklah perihatin seperti Najihah yang memberikan tempat duduknya kepada ibu yang mengandung. Kita perlulah menghargai orang lain seperti pengemis dan ibu mengandung yang mengucapkan terima kasih .
Contoh 2
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Ibu menyuruh Amni pergi ke kedai Pak Azman untuk membeli tepung dan gula. Tanpa membantah dan membuang masa, Amni segera pergi ke kedai Pak Azman dengan menunggang basikalnya. Dia mengayuh basikalnya berhati-hati kerana jalan ke kedai itu kurang baik. Lagipun, ada sesetengah anak muda di kampungnya itu suka menunggang motosikal dengan laju.
Setibanya di kedai, diapun membeli tepung dan gula. Setelah urusan tersebut selesai, dia terus balik tanpa singgah di mana-mana. Apabila sampai di rumah, dia menyerahkan tepung, gula dan wang baki kepada ibunya. Ibunya memuji Amni kerana cepat pulang dengan membawa bersama-sama barang yang dipesan.
Ibunya juga memberikan wang baki itu kepada Amni. Amni mengucapkan terima kasih kepada ibunya lalu menyimpan wang itu ke dalam tabung. Amni tersenyum keriangan kerana duit tabungnya semakin bertambah.
Contoh Jawapan.
Kita perlulah menghargai masa seperti Amni yang terus ke kedai Pak Azman apabila disuruh oleh ibunya. Selain itu, kita hendaklah berwaspada seperti mengayuh basikal berhati-hati. Kita mestilah amanah sepeti Amni yang menyerahkan tepung, gula dan wang baki kepada ibunya. Kita sewajarnya bersikap pemurah seperti ibu Amni yang memberinya duit .Kita sepatutnyah bersikap menghargai seperti Amni yang mengucapkan terima kasih kepada ibunya.
Subscribe to:
Posts (Atom)